Posted by: dq21 | 23 April 2009

Masalah!!!

Salam Alaikum sahabat pembaca. Pernahkah kita didatangi masalah yang amat besar. Masalah yang kita sangka tiada jalan penyelesaian. Masalah yang membawa kita dalam kesesatan. Masalah yang membawa kita dalam penyesalan yang sia-sia. Atau mungkin masalah yang menekan jiwa sehingga hati hampir putus asa pada kuasa Si Pemilik Alam Yang Maha Kaya.

Jika pernah apakah langkah-langkah yang perlu diambil?

Pertama, kita perlu percaya bahawa masalah itu datangnya dari diri kita. Allah Yang Esa hanya mengizinkannya terjadi. Firman Allah dalam An-Nisa’ ayat 79 ;

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

Tetapi sahabat yang dirahmati. Mengapa disebabkan kesalahan kita yang kecil sahaja, Allah telah mengizinkan bencana dan dugaan itu berlaku kepada kita? FirmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat  289;

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya…..

Kemudian Allah sertakan serangkap doa, agar hambaNya mengamalkan doa tersebut untuk menghadapi dugaan ini. Maha Suci Tuhan.

……(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Langkah seterusnya selepas berdoa sahabat-sahabat, kita haruslah berusaha untuk menyelesaikan masalah itu sedaya upaya dan sehabis baik dengan cara yang diredhai dan tidak melanggar syariat-syariat yang telah ditetapkan oleh Islam. Firman Allah S.W.T ;

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Ar-Ra’d ; 11)

Namun bagaimana jika usaha kita itu sia-sia? Masalah sedikit pun tidak selesai. Malah kita merasakan doa kita tidak diterima Allah kerana dosa-dosa yang kita lakukan. Sekali lagi kita merasa sedih dan tertekan serta hampir putus asa kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi. Jangan sahabatku! Kita seorang mukmin, kita harus percaya apa yang terjadi adalah yang terbaik buat kita. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 216 ;

Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Kita kena yakin dengan ayat Allah, jangan putus asa padaNya. Amalkan setiap ayat yang kita imani. InsyaAllah, Dia Si Maha Pemurah akan menyelesaikan masalah kita. Firman Allah S.W.T ;

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-An’am ; 17)

Sekian, Salam Alaikum…


Advertisements
Posted by: dq21 | 19 April 2009

Jom Berniaga!!!

Salam Alaikum sahabat sekalian. Apa khabar? Bagaimana keadaan tubuh? Sihat? Bagaimana iman dan islam kita? Baik? Adakah lebih baik daripada semalam? InsyaAllah…

Sahabat pembaca yang dirahmati Allah. Kiriman kali ini, saya ingin bercerita tentang perniagaan. Perniagaan yang selama ini kita sertai tetapi tidak kita sedari. Alhamdulillah, saya diingatkan oleh murabbi tentang perniagaan ini. Dan kini menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan kawan-kawan tentang perniagaan ini.

Allah S.W.T berfirman dalam surah As-Saff ayat 10 :

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Mengapa Allah berfirman sedemikian sahabat?

Cuba kita renung dan muhasabah diri kita. Kita teliti kesihatan tubuh kita, keamanan keadaan sekeliling, kegembiraan yang dirasai, kejayaan yang dikecapi dan kesejahteraan hidup yang dilalui. Semua itu pemberiaan Yang Maha Pemurah. Yang Maha Kurnia telah mengurniakan kita pelbagai nikmat untuk hidup. Anggaplah segala nikmat itu, seperti jasad, akal, hati dan alam ini modal perniagaan kita. Kemudian dengan modal yang ada ini kita hanya perlu beriman kepada Allah dan rasulNya.

Allah berfirman dalam surah As-Saff ayat seterusnya ;

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Masalah kita ialah kita tidak tahu apakah keuntungan yang akan kita dapat jika kita sertai perniagaan ini? Dalam perniagaan ini, kita kumpulkan segala pahala dan kebajikan yang ada untuk kita jual kembali kepada Si Pemberi Modal Yang Maha Pemurah itu tadi. Dia pasti akan membeli segala yang ada pada diri kita dengan syurga yang indah milikNya. Firman Allah S.W.T ;

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan memberikan mereka Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.(At-Taubah : 111)

Lihat sahabat sekalian. Betapa pemurahnya Allah. Dia memberikan kita modal, kemudian dia yang akan membeli jiwa kita, yang hakikatnya milikNya, di akhirat kelak. Maha Suci Allah. Adakah kita si hamba yang hina ini tidak mahu mendapat keuntungan yang dijanjikan? Sedangkan ayat di atas telah menyatakan bahawa janji Allah itu, janji yang benar.

Akhir kata untuk kiriman ini. Saya ingin berkongsi tips untuk menjadi orang-orang yang untung dalam perniagaan ini.

  • Jadilah orang-orang yang beriman
  • Jadilah orang-orang yang beramal soleh
  • Sentiasa berpesan pada kebenaran
  • Sentiasa berpesan pada kesabaran

Tips ini saya peroleh dari sebuah kitab yang diturunkan buat panduan manusia yang bergelar Mukmin ;


Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian –
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Sekian Salam Alaikum…



Posted by: dq21 | 12 April 2009

Apa itu sekularisme?

Salam Alaikum sahabat pembaca sekalian.

Pernah dengar perkataan sekularisme ?(kalau salah ejaan sila komen). Apa sebenarnya sekularisme? Ingin tahu dengan lebih lanjut tentangnya? Jadi, buka hati dan minda, baca perbualan dibawah dengan penuh perasaan dan intonasi yang tepat.

Perbualan di sebuah masjid :

  • Rakan A ; Ko tau..si mangkuk hayun tu memang celaka!!!
  • Rakan B ; Hakhakhakhak!!! Mmg pun…
  • Rakan C ; Ssshhh… jangan ngumpat la tak elok dalam masjid ni…

Perbualan tentang majlis maulidurrasul

  • Rakan J ; Ada buat majlis pape tak maulud nabi nanti?
  • Rakan H; Entahla…aku tak sure la…xde kot..kalau ada pun ceramah je…untuk laki je, sebab bilik kecik tak elok campur laki pompuan
  • Rakan J ; Btul2, mana boleh campur-campur laki pompuan untuk majlis-majlis camtu…buat  asing la..tapi isi die biar sama.

Ingat sahabat sekalian. Allah bukan hanya berada di dalam masjid sahaja. Allah ada di mana-mana sahaja ;

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri, maka di situlah wajah Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui. (Al-Baqarah : 115)

Kalau kita benar-benar seorang mukmin, maka kita perlu yakin dengan ayat ini.

Dalam perbualan kedua pula, kalau kita teliti gerak hidup masyarakat kita sekarang, semuanya begini. Ada kalanya sahaja kita mengikut cara hidup islam. Walhal telah jelas kepada kita bahawa islam itu syumul (menyeluruh), kamil (lengkap) dan mutakamil (melengkapkan). Cara hidup islam bukan hanya sesuai untuk dipakai ketika majlis-majlis seperti maulidur rasul, majlis berbuaka puasa atau majlis khatam al-Quran, tetapi cara hidup islam perlu diperaktikkan setiap masa, dan untuk setiap perbuatan dalam hidup kita.

Sebagai contoh, batas pergaulan laki-laki dan perempuan telah disyariatkan. Maka, ia perlu dipatuhi setap masa. Bukan kadang kala dan bukan hanya ketika kita ingin mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan. Marilah sahabat sekalian kita sama-sama sedar bahawa jika kita tidak mengamalkan islam itu seratus-peratus dalam hidup kita, kita telah mengikut langkah-langkah syaitan yang direjam ;

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam secara keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah ; 208)

Kita tahu, kita percaya, kita yakin bahawa Allah itu Yang Esa dan Yang Agung. Tetapi kita masih mengamalkan budaya hidup sekularisme. Mengapa kita tidak mencontohi Qudwah Hasanah Rasulullah S.A.W.  Baginda tidak mengamalkan sekularisme pun. Adakah kita hanya beriman bahawa Allah itu Esa, tetapi tidak beriman dengan kehadiran utusanNya. Atau mungkin kita merasakan cara hidup utusan Yang Agung itu, cara hidup yang lapuk untuk diamalkan di era globalisasi ini dan tidak sesuai untuk diimani?

Sesungguhnya orang-orang yang ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulnya, dan bermaksud ingin membeda-bedakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul-rasulNya dengan mengatakan, “Kami beriman kepada sebagian dan kami mengingkari sebagian (yang lain),” serta bermaksud mengambil jalan tengah (iman atau kafir). Merekalah orang-orang kafir yang sebenarnya. Dan Kami sediakan untuk orang-orang kafir itu azab yang menghinakan. (An-Nisa’ ; 150-151)

Selepas membaca ayat ini, saya terfikir, “Kalau aku sekular, aku ni kafir ke?? kafir yang sebenarnya plak tu…abis tu,  ramai-ramai yang tak sembah Allah tu kafir ke tak??”. Minda bercelaru dan hati tidak tenang memikirkan perkara ini. Hujung minggu nanti pasti saya akan membuka topik ini dalam usrah agar Murabbi dapat menjelaskan lagi persoalan yang timbul dalam benak hati ini. Kepada sahabat pembaca yang sudi memberikan pendapat kepada saya, jangan segan berbuat demikian. Mungkin pandangan dari sahabat sekalian tentang sekularisme ini, boleh saya  jadikan isi-isi perbincangan pada usrah akan datang. InsyaAllah.

Ketika Cinta

Vodpod videos no longer available.

more about “Woman With A Turban(Soundtrack-Opick …“, posted with vodpod

Ada tiada rasa dalam jiwa
Rindu akan memanggil Mu
Karna setiap jiwa tlah bersumpah setia
Hanyalah pada Mu

Bila cinta ada di dalam jiwa
Wangi bunga dunia tanpa nestapa
Sgala yang dirasa hanyalah Dia
Hatikan memuja hanya padaNya

Ketika cinta memanggil
Gemetar tubuhku
Ketika cinta memanggil
Hangatnya nafasku
Ketika cinta memanggil
Sang rindu
Ketika cinta memanggil

Rindu…rindu…rindu kalbu
memanggil-manggil nama Mu
Seperti terbang di langit Mu
tenggelam di lautan cinta Mu

Bertabur kalbu yang rindu
Melebur menjadi satu
Bagai menari diiringi pelangi
Ketika cinta memanggil

Posted by: dq21 | 6 April 2009

Kenapa Kau Belajar?

Salam Alaikum…

Sepanjang dua minggu lepas, saya sering bertanya kepada rakan-rakan saya soalan seperti tajuk kiriman ini. Berikut merupakan beberapa dialog antara saya dan rakan-rakan saya

  • dq2       ; Kenapa kau semangat sangat belajar?
  • rakan   ; Dah kerajaan bagi duit bukan main banyak takkan ko nak melepak  je kat cni…amanah negara wey!!…kene ingat
  • dq2        ; kenapa ko belajar rajin-rajin? g lecture, exam tak pending…bagus la ko…
  • rakan 2 ; Ni harapan mak bapak aku..  lagipun nak jadi Doktor bukan senang, kita nak rawat orang,  ilmu kene banyak, mesti kerja                       kuat..bukan sebarang profession ni..
  • dq2         ; kenapa ko belajar sungguh-sungguh?
  • rakan 3  ; kenapa?? hhmm… kenapa?  ntahla..sebab aku anak sulung kot..hahaha
  • dq2          ; wey mat…kenapa ko sungguh-sungguh belajar?
  • rakan 4   ; ko ni apasal tanye soklan pelik2 ni?
  • dq2          ; pelik mende? jawab jela…
  • rakan 4  ; hhmm… sebab aku nak jadi doktor, sebab kerajaan bg amanah kat aku n sebab nak menggembirakan hati mak ayah aku
  • dq2         ; nak tanye sket..kenapa ko belajar rajin-rajin?
  • rakan 5  ; mana ada aku belajar rajin-rajin…aku malas la
  • dq2         ; okla..kenapa ko belajar sungguh-sungguh
  • rakan 5 ; hahaha..sungguh-sungguh sama je la..mana ada..
  • dq2        ; okla…kenapa ko belajar la…senang cter..kenapa?
  • rakan 5 ; sebab aku tak nak sia-sia kan peluang yang ada. sebab kerajaan dah bg aku peluang belajar dengan duit ni. lagi…sebab aku nak jd orang yg berguna kepada masyarakat nanti.

Itulah serba sedikit hasil perbualan yang berjaya saya ingat. Bagi saya, semua jawapan mereka betul. Tetapi jawapan itu semua, bagi saya yang bertanya, masih tidak cukup untuk menambahkan motivasi diri saya yang malas ini. Jadi saya terus mencari jawapan yang mampu membina dan meningkatkan motivasi diri.

  • dq2           ; kenapa ko belajar rajin-rajin?
  • murabbi ; sebab islam suruh belajar sungguh-sungguh, cari ilmu banyak…untuk jadi khalifah.. dalam ISK kot..takkan tak ingat??  *ISK(sebuah seminar bertajuk Ini Sejarah Kita)
  • dq2        ; abg..kenapa abg belajar rajin-rajin?
  • abang   ; sebab nanti takde sape nak dengar aku cakap. dalam dunia sekarang ni…orang nak dengar orang yang berilmu je cakap. macam mane aku nak sampaikan islam kat orang kalau aku ni tak berilmu. susah la..jadi sekarang ni kita kene belajar rajin-rajin, so that bila kita penuh ilmu lagi mudah kita nak sampaikan sesuatu.

Terima kasih kepada murabbi dan abang kerana memberikan jawapan dengan pantas, bernas, dan yang paling penting, jawapan inilah yang berjaya menaikkan semangat saya untuk belajar.

Sahabat pembaca sekalian, dalam dialog bersama rakan-rakan saya sepanjang dua minggu lepas, yang mana satu mungkin jawapan yang akan anda berikan jika soalan berkenaan ditanyakan kepada anda?

Al-Quran merupakan satu buku panduan kepada manusia. Jika membacanya dengan penuh penghayatan pasti kita akan tahu jawapan yang tepat bagi soalan ini. Sahabat sekalian lekas ambil Al-Quran dan buka surah Al-Baqarah ayat 30:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi“. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”

Jadi sahabat sekalian, marilah kita renung diri kita dan fikirkan kembali apakah niat kita belajar. Jika masih belum bertepatan dengan islam kita ubah dan tepatkan. Marilah kita sama-sama menuntut ilmu dengan niat untuk menjadi seorang khalifah dan untuk islam kerana Allah S.W.T. InsyaAllah, usaha kita tidak akan sia-sia dan segala jawapan yang betul seperti rakan-rakan saya nyatakan tadi akan tercapai jika kita niatkan sebab kita belajar keran satu jawapan yang tepat. InsyaAllah.

Posted by: dq21 | 4 April 2009

CCTV

Salam Alaikum…

Pernah tengok kamera kecil yang diletakkan di sudut-sudut ruang pusat membeli-belah, pada bucu-bucu bangunan, di atas tiang lampu isyarat, di laluan tangga keluar, di dalam lif, di mesin atm atau di hadapan pintu masuk suatu kawasan? Pasti pernah dan pasti semua sudah biasa dengan panggilan CCTV berbanding kamera keselamatan. Apa perasaan kita, apabila kita berada di kawasan atau di ruang yang mempunyai kamera ini? Pasti kurang selesa dan agak kalut kerana mengetahui perbuatan kita sedang diperhatikan. Jika anda seorang pemandu, kamera inilah yang menjadi penghalang kepada kita untuk melanggar lampu isyarat. Jika anda seorang perompak, kamera inilah yang jadi penghalang kepada kegiatan anda.

Bayangkan, jika suatu hari nanti, mungkin 10 tahun dari sekarang, setiap ibubapa akan dibekalkan dengan kamera keselamatan yang boleh mengekori anak-anak mereka (kita). Bagaimana sikap kita? Setiap perbuatan kita diketahui oleh ibubapa kita. Apa-apa sahaja. Pasti kita akan jadi anak yang lebih baik. Pasti kita akan belajar dengan rajin dan tidak melakukan perbuatan yang akan membangkitkan kemarahan ibubapa kita. Sikap kita tidak akan sama seperti sekarang. Terma yang sering digunakan sekarang ialah HIPOKRIT.

Cuba buka Al-Quran dan lihat,baca serta tadabbur surah Al-Baqarah ayat 115:

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri, maka di situlah wajah Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

Sedarkah sahabat pembaca sekalian bahawa kuasa Allah S.W.T, jauh melampaui teknologi yang kita angan-angankan sebentar tadi. Allah tahu setiap apa yang kita lakukan. Kita mampu untuk mematuhi lampu isyarat, kerana tahu polis trafik sedang memerhatikan kita dari bilik gerakan. Kita tidak selesa di hadapan mesin ATM, kerana tahu ada pegawai keselamatan yang memerhatikan kita. Kita bersikap sopan di dalam lif kerana tahu ada seseorang yang memerhatikan kita. Kita akan HIPOKRIT jika angan-angan tadi jadi kenyataan, kerana tahu ibu dan ayah sedang memerhatikan kita. Tetapi kita langsung tidak berTAQWA, walaupun kita sudah tahu bahawa Allah S.W.T berada di mana sahaja.TAKUT kita kepada polis, pegawai keselamatan dan ibu ayah kita lebih dahsyat berbanding TAQWA kepada Allah.

Sahabat pembaca yang dikasihi. Ayat 115 dari surah Al-Baqarah tadi bukan baru ditulis semalam, tetapi sudah termaktub di dalam Al-Quran lebih kurang 1400 tahun dahulu. Tetapi bagaimana sikap kita sekarang? Bagaimana keadaan umat Islam sekarang?Jika kita benar-benar seorang mukmin, dan yakin dengan setiap apa yang tercatat dalam Al-Quran dan setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W pasti keadaan umat Islam tidak seperti sekarang. Jadi, marilah sahabat sekalian, kurangkan takut kepada kepada YANG DICIPTA dan tambahkan taqwa kepada YANG MENCIPTA.

Dalam pelajaran Agama Islam, kita pernah belajar satu topik berkaitan dengan tajuk kiriman ini (CCTV), namun pengetahuan tidak akan menambahkan iman dan taqwa jika tidak disertai dengan pemahaman dengan hati. Topik yang saya maksudkan ialah ihsan:

Sebagaimana didalam sebuah hadith yang panjang dari Abu Hurairah ra., ketika Malaikat Jibril bersoal jawab dengan Nabi saw dan di dalam perbualan tersebut ada menyebut tentang ihsan :-

مَا الْإِحْسَانُ ؟ قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab : Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatNya, akan tetapi Allah melihat kamu” [Hadith Riwayat Bukhari #50, Muslim #9]


Posted by: dq21 | 29 Mac 2009

Masa itu makhluk??

Alhamdulillah…selesai saya melakukan salah satu tanggungjawab saya sebagai seorang muslim. Seronok rasanya apabila kita bertemu dengan sahabat-sahabat yang mempunyai fikrah yang sama dengan kita (cara berfikir yang sama). Lebih-lebih lagi apabila fikrah itu berteraskan aqidah yang sejahtera (insyaAllah) dan Islam yang syumul.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah, dapat saya merasai kebesaran Allah S.W.T, keajaiban berlaku di hadapan mata saya. Dalam pertemuan itu, pelbagai perkara dibincangkan, banyak yang diperoleh tetapi masa yang berlalu perlahan sekali. Subhanallah..apabila kita duduk berbincang tentang Islam dan iman, Allah sentiasa memberikan kemudahan. Terbukti malam tadi bahawa masa itu makhluk Allah semata, seperti kita, bezanya kita ini lebih mulia. Jadi kita harus bijak, menggunakan segala makhluk ciptaan Allah yang ada di bumi ini termasuklah masa, dan bukannya kita bergantung pada masa. Firman Allah S.W.T

Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Oleh itu sahabat pembaca sekalian, marilah sama-sama kita amalkan apa yang kita ketahui. Tidak mungkin ada diantara kita yang ingin menjadi seorang yang rugi. Fitrah manusia mahukan kemewahan, kekayaan dan keuntungan. Allah S.W.T sudah memberi tips dan teknik-teknik bagaimana untuk terkecuali daripada kerugian atau dalam kata lainnya, bagaimana untuk menjadi seorang yang untung.

Percayalah sahabat-sahabat. Luangkan masa untuk Allah, Allah akan beri masa yang banyak kepada kita dalam apa jua yang kita lakukan. Perbaharuilah semula kalimah syahadah kita.

Aku bersaksi bahawa tiada tempat pergantungan lain selain Allah

Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah

Selepas itu, semak semula diri kita. Di mana kedudukan Pencipta kita dalam diri kita? dan di mana kedudukan masa dalam diri kita? Pada siapa kita bergantung sebenarnya? Pernah tak berlaku keaadaan sebegini kepada kita;

Hamid : Lem!! Malam ni qiamulail.. insyaAllah..kat bilik Imran… jomlah datang!!

Halim : Tengok lah Med kalau ada masa….tak cukup masa aku ni..

Allah nombor satu atau masa nombor satu? Jangan sampai kita menghambakan diri pada masa. Kerana masa itu juga makhluk. Elakkan dari kita menggunakkan ayat-ayat seperti Halim tadi. Apabila ada peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, kita terus niatkan hati dengan ikhlas untuk menyertainya. Kemudian susuli niat yang ikhlas tadi dengan lafaz…InsyaAllah.

Hamid : Lem!! Malam ni qiamulail.. insyaAllah..kat bilik Imran… jomlah datang!!

Halim : InsyaAllah Med aku datang, aku pun dah 4 jam mengadap buku pharmaco ni…tak guna gak baca 4jam kat buku tapi 30 minit  untuk Allah pun tak bolehkan Med?

Hamid : Btul2…Jumpa pagi sok Lem…insyaAllah

Halim : insyaAllah…

InsyaAllah sahabat sekalian, kita ubah diri kita. Hentikan pergantungan diri kepada makhluk. Kembalilah kepada Pencipta Yang Memiliki Sekalian Alam..dan contohilah PesuruhNya dalam menjalankan kegiatan harian dan dalam penggunaan masa. InsyaAllah…Salam Alaikum..

Posted by: dq21 | 27 Mac 2009

Bercerita Tentang Akar…

Salam Alaikum sahabat pembaca yang dirahmati Allah S.W.T

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadratNya kerana dengan taqdirNya, saya ditempatkan di hostel yang penghuninya masih lagi sudi untuk ingat-mengingati antara satu sama lain. Suatu malam di hostel saya selepas solat Isya’, seperti biasa, tazkirah akan disampaikan mengikut giliran bilik yang bertugas. Saya sangat tersentuh hati dengan tazkirah pada malam itu. Sahabat yang memberi tazkirah membincangkan tentang dua ayat dari surah Ibrahim, ayat 24-25;

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Beberapa persoalan yang timbul dalam pemikiran saya ketika maksud ayat ini dibacakan. Apakah kalimah yang baik itu? Mengapa pokok yang digunakan sebagai perbandingan? Apakah maksud perbandingan yang dimuatkan oleh Raja sekalian alam di dalam kitab panduan manusia ini?

Kalimah yang baik itu merupakan kalimah tauhid (kalimah syahadah). Kalimah penyaksian manusia bahawa tiada tempat pergantungan selain Allah dan Muhammad S.A.W adalah pesuruhNya. Yang Bijaksana telah manggunakan pokok sebagai perbandingan kerana pokok mudah dijumpai, di mana-mana negara jua di dunia ini pasti mudah untuk kita melihat pokok. Ini memudahkan kita, insan ciptaanNya untuk membuat penelitian, kajian dan berfikir tentang maksud ayat ini. Namun, secara keseluruhannya, apakah maksud perbandingan ini?

Sahabat sekalian, cuba kita jenguk sebentar ke luar jendela dan perhatikan beberapa pokok, pokok-pokok bunga dihadapan rumah, pokok-pokok buah-buahan, pokok-pokok getah di tepi lebuh raya atau mungkin pokok yang kita tanam dan diletakkan disudut ruang belajar di kamar rumah kita. Cantik, hijau, berbunga, lebat daunnya, kuning daunnya, daun kering berguguran, layu, hampir mati dan botak tanpa daun. Itu mungkin keadaan pokok-pokok disekeliling kita. Begitu juga keadaan dengan kita.

Pernahkah saudara saudari ditegur oleh rakan kerana maksiat yang kita lakukan?

“WOI!! Tengok apa kat PC aku? Astaghfirullah…tak takut Allah ke?”…”Hah..buat apa tu??!! ngumpat-ngumpat!!! takde kerja lain ke? carilah kerja yang bermanfaat sket”…”Ko dah solat blom..apa nak jadi ko ni?”…”HEY!!!cantiknya rambut…tudung mana kak?”…”Perhatian kepada semua pelajar, pakaian riadah perlulah menutup aurat!!”….”solat jemaah malam ni jangan lupa pergi!!!”…”dahlah main game tu..pegilah solat jap!!!”

Itulah serba sedikit contoh teguran manusia kepada manusia atas tujuan dakwah. Apa perasaan kita tentangnya? Mengapa kita perlu sentiasa diingatkan dan sering tidak senang dengan teguran-teguran ini? Mengapa masih sukar untuk kita mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan? Mengapa sangat payah untuk kita hidup dengan cara hidup yang akan membawa kepada akhirat yang bahagia? Apakah yang masih perlu diperbaiki dalam diri kita supaya menjadi mukmin sejati?

Teguran-teguran rakan-rakan kita tadi hanya boleh diibaratkan sebagai seorang tukang kebun yang sedang membuang siput babi di pokok bunga, mencantas daun-daun yang rosak, atau menyembur racun anti parasit. Akan tetapi masalah sebenarnya adalah pada akar itu sendiri, pada kalimah tauhid kita. Kalimah tauhid itu merupakan akar kepada peribadi kita sebagai seorang Mukmin. Akar kita tidak sihat. Kita mengucap dua kalimah syahadah disetiap solat ketika tahyat awal dan tahyat akhir sekurang-kurangnya. Namun, pernahkah kita mengucapkannya dengan ucapan yang ikhlas dan tulus dari hati? Kita mengucapkan kalimah itu hanya sekadar rutin dalam solat. Tidak pernah pun kita sedar bahawa kalimah itu sangat berat maksudnya. Hari-hari kita kata “Aku Bersaksi bahawa tiada tempat pergantungan lain selain Allah”, tetapi kita sendiri bergantung kepada masa untuk melakukan ibadah kepada pencipta masa. Kita ucapkan “Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”, tetapi kita masih ragu-ragu dan takut untuk melakukan dan mengamal sunnah utama baginda. Malah ada di antara kita yang masih tidak sedar lagi apakah sunnah utama yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Kefahaman kita tentang rukun iman itu sendiri sangat kurang. Cuba kita renung semula rukun-rukun iman. Pertama, percaya kepada Allah. Adakah kita percaya kepada Allah. Adakah kita mampu untuk menyenaraikan nama-nama dan sifat-sifatNya? Sejauh manakah kita percaya tentang kuasa dan kemampuanNya? Adakah Dia tempat kita bergantung segala-galanya dan adakah Dia menjadi keutamaan hidup? atau solat, baca Quran dan berzdikir diletakkan di belakang sekali ketika masa lapang dan selepas ulangkaji pelajaran? Sekali lagi kita  bergantung pada masa dan bukan Allah… Astaghfirullah.

Kedua, percaya kepada Rasulullah. Kenalkah kita siapa Rasulullah? Adakah kita mengikut apa ajaran dan akhlaknya? Tidak, kita tidak tahu apapun tentang rasulullah jika dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi yang tertampal di pintu almari kita, pelakon-pelakon yang menjadi latar belakang skrin komputer kita dan ahli-ahli akademik yang dijadikan idola untuk mengejar nikmat hidup di dunia yang mungkin hari ini, hari terakhir buat kita. Jika tidak kenal masakan kita mampu untuk mengamalkan sunnah-sunnah baginda. Lebih teruk lagi apabila kita tidak tahu apakah sunnah utama baginda, sunnah yang baginda amalkan sepanjang hidup baginda sejak baginda menerima wahyu. Ada dikalangan kita pula yang tahu, namun malu, segan, takut, tiada keyakinan dan kurang motivasi serta beberapa lagi alasan dikemukakan yang mungkin berlandaskan hasutan syaitan yang direjam.

Cukuplah saya mengulas dua rukun iman ini, kerana kedua-duanya merupakan kalimah tauhid yang sering kita ulang tetapi tidak pernah kita mengambil perkara ini dengan serius. Banyak perkara yang lebih serius seperti mengejar cita-cita, kekayaan dan kejayaan. Percayalah sahabat sekalian, kalimah tauhid ini akarnya. Jika kita inginkan pokok itu hidup dengan segar kita siramnya setiap hari dengan air untuk akarnya. Jika kita inginkan pokok itu mengeluarkan buah-buahan yang enak dan bunga-bunga yang cantik serta daun-daun yang merimbun, baja diberikan kepada akarnya. Begitu jugalah dengan kita. Akar perlu kita kukuhkan. Kalimah tauhid itu perlu kita perbaharui dalam setiap solat. Ucapkan dari hati dengan maksud yang mendalam untuk mentauhidkan Allah. Hentikan segala pergantungan kita kepada perkara-perkara lain, duit, masa, kesihatan, kelapangan, tenaga dan kudrat itu semua kurniaan Sang Pencipta.

Jika kita inginkan ketenangan, rapatkanlah hubungan dengan Yang Maha Pemberi. Jika kita inginkan kekayaan, kayakan hati dengan zikir kepadaNya. Jika kita inginkan kejayaan, lakukan kerja ikhlas keranaNya. Jika kita inginkan kelapangan, luangkan masa untuk mengingati Tuhan Sekalian Alam. Jika kita inginkan masa dan waktu, berhenti jadikan waktu tempat pergantungan kita, letakkan Allah nombor satu dalam setiap pekerjaan dan pelakuan kita, dengan izinNya, secara tidak sedar kita akan peroleh waktu. Ingatlah sahabat, jika kita bekerja dengan bersungguh kerana inginkan dunia, maka dunia yang akan kita peroleh. Namun jika kita bekerja dengan bersungguh kerana ingin mengecapi kebahagiaan diakhirat, kita akan peroleh lebih dari itu…InsyaAllah.

Salam Alaikum…


Posted by: dq21 | 23 Mac 2009

Nafas dari Mu

*]
Izinkan ku ucap kata taubat
Sebelum Kau memanggilku
kembali pada-Mu, menutup waktuku

Izinkan ku serukan nama-Mu
Sebelum nyawa dalam tubuhku
Kau ambil, kembali pada-MU

[**]
Karna ku tahu, hanyalah pada diri-Mu
Tempatku mengadu, tempatku mengeluh
Di dalam do’aku

[***]
Dan demi nafas yang telah kau hembuskan dalam kehidupanku
Ku berjanji, ku akan menjadi yang terbaik
Menjalankan segala perintah-Mu, menjauhi segala larangan-Mu
adalah sebaris do’a ku untuk-Mu

Back to [*][**][***]

Salam alaikum…

Beberapa hari lepas, ada seorang sahabat ajarkan saya lagu nyanyian kumpulan terkenal dari indonesia ini. Iramanya, orang-orang putih panggil “catchy”, suara penyanyi yang serak-serak basah juga menambahkan lagi perasa kepada lagu ini. Namun apa yang membuatkan lagu ini bernilai tinggi ialah liriknya yang menceritakan tentang kuasa Allah S.W.T.

Saudara, saudari, sahabat pembaca sekalian. Pernah tak kita memikirkan apa yang penulis lirik ini fikirkan? Segala-gala yang ada di sekeliling kita adalah milikNya. Masa, nyawa, makanan, duit, kemahiran, kecantikan, kelapangan, dan dalam lagu ini ditekankan nafas dan nyawa. Sedar tidak sedar sebenarnya, molekul oksigen itu juga adalah makhluk Allah S.W.T. Ia taat kepada tugas yang diberikan kepadanya. Apabila ia disedut masuk oleh manusia kedalam paru-paru, ia akan pecah dan terpisah daripada rakan-rakannya yang lain. Diserap masuk di kapilari darah paru-paru kita. Bergabung dengan darah untuk berkhidmat kepada sel-sel lain seluruh badan yang memerlukannya. Agar sel-sel badan kita dapat melakukan proses harian, agar sel-sel badan terus dapat melakukan tugasan yang telah diberikan kepadanya, tugasan dari Allah, Sang Pencipta yang memiliki sekalian alam.

Setiap organ, setiap tisu, setiap sel, setiap molekul dan setiap atom serta setiap elektron dalam setiap unsur di alam semesta ini adalah milik Allah S.W.T. Dari sebesar-besar galaksi ke sekecil-kecil elektron (mungkin ada yang lebih kecil), dijadikanNya dengan sebab dan tujuan. Mempuyai tugas masing-masing. Mereka taat kepada pencipta, tunduk dan berserah sebagai hamba hina.

Tetapi sahabat pembaca, adakah kita tunduk kepadaNya? Adakah kita benar-benar menjadi seorang muslim? Adakah kita hidup menepati tujuan penciptaan kita? Nyawa yang dikurniakan oleh Allah kita langsung tidak hargai, jauh sekali bersyukur. Bahkan lagi teruk  lagi apabila kita menyandarkan kehidupan kita ini kepada teori-teori sains yang hakikatnya teori-teori itu juga makhluk, yang berfungsi sebagai titian ilmu buat kita untuk lebih lagi mengagumi kebesaran Maha Pencipta.

Sememangnya nyawa itu ada kerana nodus di atrium jantung menjanakan kuasa kepada jantung agar jantung berdegup dan mengepam darah ke seluruh anggota untuk kita terus hidup. Akan tetapi, siapa pula yang memerintahkan nodus itu untuk menjana kuasa?

Sibuk kita bercerita tentang bagaimana manusia berfungsi. Kagum dengan kebolehan otak manusia. Terpesona dengan setiap organ dalam badan. Apabila mengetahui, kita bercerita dengan rakan-rakan tentang ilmu sains yang baru kita peroleh. Itulah kita manusia. Tetapi kepada siapa pujian patut diberikan sebenarnya?

Ketika kita mengagumi makhluk-makhluk lain berfungsi, kita lupa tujuan dan hakikat penciptaan kita. Siapakah kita? Firman Allah S.W.T dari surah As-Sajadah Ayat 7-9 bermaksud;

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;
Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang hina;
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.


Allah telah menerang siapakah kita. Malah dihujung ayat ini Allah menyindir kita, bahawa kita ini sedikit sekali bersyukur kepadaNya. Kita tidak sedar kita disindir oleh Pencipta kita. Manusia yang disindir sahabat sekalian, bukannya batu. Jadi sedarlah! Jika kita mudah tersinggung apabila disindir rakan, guru, dan ibubapa. Tetapi kenapa kita tidak tersentuh hati dengan sindiran yang penuh hikmah ini? Jika kita boleh berubah daripada seorang yang malas membaca buku kepada rajin apabila disindir guru didalam kelas, dihadapan rakan lain. Jika kita boleh berubah daripada yang gemuk kepada yang kurus dan sihat apabila disindir rakan-rakan ketika bersukan. Jika kita boleh berubah daripada isteri yang tidak tahu memasak kepada hebat memasak apabila disindir suami dihadapan mertua. Mengapa kita tidak berubah daripada yang tidak bersyukur kepada yang bersyukur apabila disindir Pencipta kita dan dimuatkan sindiran itu didalam sebuah kitab yang terpelihara selama 15 abad  ini?

Marilah sahabat sekalian. Berubah, jadilah seperti apa yang dikehendakiNya. Kerana kebaikannya adalah buat kita jua. Mengapa kita terlampau sombong dengan Allah. Sombong melakukan dosa dan tanpa sedar sambil melakukan dosa kita menghirup oksigen untuk memastikan kita hidup. Ketika kita mengumpat kita makan nasi goreng, rezeki dariNya. Ketika kita mencarut kita menghirup nafas, makhluk ciptaanNya dengan dalam agar mudah menjerit supaya carutan didengar oleh orang yang dituju. Ketika melayari internet kita melihat dengan mata milikNya, sehingga lupa waktu solat telah sampai penghujungnya. Ketika kita berkhalwat dengan pasangan kita, kita mendengar dengan telinga milikNya agar dapat mendengar tiada siapa yang akan melalui kawasan itu.

MasyaAllah..Astaghfirullah..Na’uzubillah min dzalik. Ini ciri-ciri orang yang sombong kepada Allah. Angkuh dan bangga dengan dosa yang dilakukan. Walaupun tidak pernah kita menyatakan keangkuhan kita ketika melakukan dosa itu. Tetapi kita menggunakan makhluk-makhluk ciptaanNya untuk maksiat sudah cukup menunjukkan yang kita ini sombong dan lebih berkuasa daripada makhluk-makhluk lain yang kononnya kecil. Ia…benar kita sebaik-baik ciptaan, namun tidak layak untuk kita sombong dan memerintahkan anggota badan kita untuk melakukan perkara yang ditegahNya. Sesungguhnya Allah telah berfirman di dalam Al-Quran tentang akibat orang-orang yang sombong melakukan dosa, dalam surah Al-Baqarah; 206:

Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Posted by: dq21 | 23 Mac 2009

Ungu – Dengan Nafasmu

Vodpod videos no longer available.

more about “Ungu – Dengan Nafasmu“, posted with vodpod

« Newer Posts - Older Posts »

Kategori