Posted by: dq21 | 24 Mei 2010

Tolong…

Sudah lama aku tinggalkan blog ini. Hati yang dulu basah sudah menjadi kering beberapa bulan. Pelbagai usaha yang dilakukan murabbi dan rakan-rakan yang sayangkan aku. Aku nampak usaha mereka. Aku sedar kesedihan mereka. Tapi hati ini berkeras kata “Tak bole…ko tu jahat…kotor..ni bukan jalan ko…kalau ko teruskan pun..sama je…cuti summer ko hancur balik…rosak balik…”

Kata-kata hati manusia yang hanya berfikir melalui logik akal. Alasan yang diberi tak mungkin akan diterima di padang mahsyar nanti. Sudah terlambatkah aku untuk kembali kepada jalan yang aku lari daripadanya?

Perkara ini berulang hampir setiap tahun dalam hidup aku sejak aku tingkatan satu. Jalan ini sentiasa ada dihadapan aku. Alhamdulillah, aku nampak jalan ini, tetapi aku ke arah lain juga. MasyaAllah, difikirkan kembali, aku jauh lebih hina berbanding mereka yang tidak pernah nampak pun jalan ini. Di mana kedudukan aku di sisi Mu, Ya Allah.

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Bantu aku sahabat-sahabatku.

Posted by: dq21 | 11 Jun 2009

Belum boleh rehat lagi…

Salam Alaikum

Minggu peperiksaan di Russia ini sudah tiba kepada penghujungnya. Malah ada yang telah selesai menjawab semua mata pelajaran. Tahniah saya ucapkan kepada rakan-rakan pembaca yang berkenaan. Ingat, walau apa pun keputusan yang kita terima segalanya tidak sepenting usaha dan amal kita kepada Allah dalam menghadapi minggu peperiksaan ini.

Sahabat Pembaca yang dirahmati Allah,

Kita lega, kita tenang melepasi suatu ujian yang direka oleh manusia untuk manusia. Namun adakah kita sedar bahawa semuanya dari Allah S.W.T jua. Keputusan yang buruk mahupun baik juga adalah ujian dari Allah untuk kita. Adakah amalan kita bertambah sebagai tanda kesyukuran? Atau…mungkin maksiat kita semakin bertambah sebagai langkah untuk menghilangkan tekanan jiwa akibat keputusan yang buruk? Pendek kata, adakah kita menyalurkan keseronokan atau kesedihan itu ke jalan Allah?

Sahabat sekalian,

Peperiksaan sebahagian kecil sahaja daripada dugaan sebenar di dunia ini. Banyak lagi dugaan dan cabaran dalam kehidupan kita yang perlu kita hadapi kelak, dalam kita melaksanakan amanah kita sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Maka, hadapilah segala kesukaran ini dengan penuh kesungguhan, sabar dan tidak melupakan Pencipta kita yang mengizinkan segalanya terjadi.

Firman Allah S.W.T dari surah Al-Insyirah ayat 5-8:

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai [dari sesuatu urusan], kerjakanlah dengan sungguh-sungguh [urusan] yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.


Melalui ayat-ayat di atas kita perlu sedar bahawa perjuangan kita bukan sekadar menghadapi kesukaran yang sementara ini (peperiksaan). Tetapi kesukaran itu sepanjang hidup kita di dunia. Kerana kesenangan yang abadi hanya akan dicapai di akhirat kelak…insyaAllah. Dengan syarat, kita menghadapi segala urusan, segala kesukaran dan segala hal di dunia ini dengan sungguh-sungguh dan dengan cara yang benar iaitu satu-satunya cara hidup di sisi Allah S.W.T.

Wallahu ‘alam

Posted by: dq21 | 25 Mei 2009

Tips Exam!!

Salam Alaikum…

Seperti yang kita sedia maklum, sekarang ini merupakan minggu peperiksaan bagi pelajar-pelajar yang berada di Russia. Kita sibuk menelaah pelajaran pada waktu pagi , petang, siang dan malam. Melalui pemerhatian saya, di hostel kediaman saya, pelajar-pelajar di sini ada yang  tidur memeluk nota atau buku catitan mereka. Ada juga yang sentiasa di atas meja belajar, dan buku di atas meja dijadikan bantal mereka. Katil sangat lengang, tiada penghuni. Yang ada cuma himpunan buku-buku dan nota-nota yang berselerakan serta selimut yang tidak dilipat rapi.

Sahabat pembaca sekalian. Kita terlampau fokus pada pelajaran, seolah-olah peperiksaan itulah segala-galanya buat kita. Sehingga kita lupakan Ilah kita yang sebenarnya, Maha Agung yang memiliki segala ilmu bumi dan langit. Jangan sampai wujudnya sembahan baru dalam diri kita. Ingat ilmu yang kita kejar ini cuma wasilah untuk kita terus berjuang di jalanNya. Oleh itu, marilah kita buka kembali buku karangan Yang Esa, lihat semula apakah yang ditulisNya.   

Sahabat-sahabat…di awal Surah Al-Mu’minun, Allah S.W.T telah menyenaraikan tips-tips untuk berjaya. Melalui ayat pertama Allah S.W.T berfirman ;

Sungguh beruntunglah (berjayalah) orang-orang yang beriman

Perkataan yang digunakan ialah Falah yang membawa maksud kejayaan (jika salah tolong betulkan ye).  Maka dalam kita mengejar kejayaan di bulan peperiksaan ini, Si Pencipta telah memberitahu kita bahawa perkara pertama sekali yang perlu kita lakukan ialah menjadi orang yang beriman. Melakukan perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang beriman. Apakah perkara-perkara itu? Ayat seterusnya ada  menyatakan.

Orang yang khusyuk dalam solatnya (23 ; 2)

Sudahkah kita khusyuk dalam solat? Jika belum, latih diri untuk khusyuk. Ketika menghadap Allah, Yang Menciptakan kita pun kita sukar hendak khusyuk bagaimana hendak menghadap buku-buku hasil karya yang diciptakanNya?  

Dan orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan tidak berguna (23 ; 3)

Dalam kita mengatakan kita kurang masa untuk beribadah khusus kerana sibuk hendak menghadapi peperiksaan, kita masih punyai masa untuk drama korea, anime, Facebook, Britain’s Got Talent, UEFA champions league, dan macam-macam lagi perkara yang kita anggap sebagai rekreasi minda kononnya. Allah sudah muatkan dalam Manual ini, bahawa jika kita masih mendekati perkara-perkara lagha, maka tak akan berjayalah kita.

Dan orang yang menunaikan zakat (23 ; 4)

Zakat ini merupakan pembersihan harta khususnya. Namun jika kita telah selesai yang itu, sudahkah kita membersihkan hati kita? InsyaAllah, marilah sama-sama kita membersihkan jiwa kita agar mudah menerima dan mengingati pelajaran.

Dan orang yang memelihara kemaluan (23 ; 5)

Kepada pembaca lelaki, perkara ini perlu kita ambil berat kerana di musim panas ini, pelbagai dugaan yang ada di depan mata. Bak kata penulis Kun-Rajulan, pakaian mereka seperti hendak mengawan setiap masa dan di mana sahaja. Maka, kita perlu jaga penglihatan kita kepada perkara-perkara sebegini. Bermujahaddahlah. Selain itu, kehidupan berpasangan tidak halal juga telah menjadi norma masyarakat kita. Mungkin perkara ini juga menjadi penghalang untuk kita fokus dalam pelajaran seterusnya penghalang kepada kejayaan kita.  

Serta yang memelihara solatnya (23 ; 9)

Peliharalah solat kita. InsyaAllah, jika kita solat tepat pada masanya. Lengkap beserta solat sunat rawatib kita lebih mudah untuk fokus dalam pelajaran. Kerana solat ini doa. Dalam Al-Fatihah telah dimuatkan dengan doa yang cukup lengkap buat kita. Jangan jadikan buku yang tebal sebagai alasan untuk kita melakukan solat sambil lewa, tidak tepat pada waktunya dan sepantas ayam mematuk. Lebih digalakan, solat berjemaah di musim peperiksaan ini. Mungkin selepas solat jemaah, sahabat-sahabat lain ada nota-nota atau tips-tips untuk dikongsi? Ini mungkin dapat membantu kita dalam peperiksaan kelak.

Jadi sahabat-sahabat, itu sahaja perkongsian dari saya. Jika ada tips tambahan, sila muatkan dalam komen. Wallahu ‘alam. Sekian.   

Posted by: dq21 | 21 Mei 2009

Keimanan…

Vodpod videos no longer available.

more about “Keimanan…“, posted with vodpod


Em      B       Em       B
Andai matahari di tangan kananku
   Am     E          Am    
Takkan mampu mengubah yakinku
D                   G         F#         B
Terpatri dan takkan terbeli dalam lubuk hati

Em      B       Em         B
Bilakah rembulan di tangan kiriku
Am         E            Am
Takkan sanggup mengganti imanku
D          G       F#      B
Jiwa dan raga ini apapun adanya

Am         D         G        Am          
Andaikan seribu siksaan terus melambai-lambaikan
D           G
derita yang mendalam
B                   Em
Seujung rambut pun aku takkan bimbang
F#                 B
jalan ini yang kutempuh

    Am    D           G           Am          
Bilakah ajal kan menjelang jemput rindu-rindu
       D            G
Syahid yang penuh kenikmatan
F#           Em      C               B     Em
Cintaku hanya untukMu tetapkan muslimku selalu
Posted by: dq21 | 14 Mei 2009

Saint Petersburg…

Salam Alaikum…

Esok…insyaAllah… Aku dan tiga orang kawan lagi akan berangkat ke Saint Petersburg. Kami berempat, dua orang dari MMA dan dua orang lagi dari MAI akan pergi melawat rakan-rakan yang sedang belajar di sana dalam bidang kejuruteraan laut. Semoga perjalanan berteraskan ukhuwah ini akan membawa seribu satu kebaikan dan hikmah buat kami. InsyaAllah.

Semoga perjalanan kami esok hari juga berteraskan perintah Allah dalam surah An-Naml ayat 69 ;

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu”

InsyaAllah… Pesan Murabbi akan juga ku pegang ; 

  • Murabbi ; Jangan pegi kalau takde niat yang jelas…dahla minggu exam ni
  • Dq2          ;  InsyaAllah…ada urusan…niat jelas

Buat Murabbiku, insyaAllah pengisian hadith pertama akan ku amalkan. Potensi-potensi manusia juga akan aku gunakan sebaik mungkin. Tak akan ku biarkan diriku menjadi bahan api Jahanam dan tak akan ku biarkan diriku menjadi seekor haiwan ternak;

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai (Al-A’raf ; 179)

Doakan agar perjalanan kami selamat dan mencapai tujuan serta niat kami ke sana. Sekian. Wallahu’alam…

 

Posted by: dq21 | 11 Mei 2009

Adakah Kau Lupa?

Vodpod videos no longer available.

more about “adakah kau lupa?“, posted with vodpod

Am
Adakah kau lupa
G
Kita pernah berjaya
Am
Adakah kau lupa
G
Kita pernah berkuasa

C                                           Dm
Memayungi dua pertiga dunia
F                                                   E
Merentas benua melayar samudera
C                                Dm
Keimanan juga ketaqwaan
F                               E
Rahsia mereka capai kejayaan

Am                                     C
Bangunlah wahai anak bangsa
G
Kita bina kekuatan jiwa
F    E       Am
Tempuh rintangan perjuangan

Am                                             G
Gemilang generasi yang silam
Am                              G
Membawa arus perubahan
C                                 Dm
Keikhlasan hati dan nurani
F                                        E
Ketulusan jiwa mereka berjuang


Am                                    G
Sejarah telah mengajar kita
C                                         E
Budaya Islam di serata dunia
Am                                     G
Membina tamadun berjaya
C                                                E
Merubah mengangkat maruah

Am
Adakah kau lupa
G
adakah kau lupa
c                           E Am
adakah kau lupa

Posted by: dq21 | 9 Mei 2009

Terkenang…

Salam Alaikum…

Malam tadi sebelum melelapkan mata, aku terkenang saat-saat hidup di Moscow sebelum aku kenal erti islam. Sebelum wujudnya secebis usaha ini. Sebelum aku tahu bahawa al-Quran adalah buku panduan buat makhluk yang bergelar insan.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa (Al-Baqarah ; 2)

Hidup aku tidak ubah seperti sebuah robot. Aku bangun tidur, bersiap ke akademi, ke kuliah dan sebagainya. Di sana aku belajar, memenuhi akal dengan ilmu-ilmu perubatan yang kononnya bakal menjanjikan kehidupan yang mewah, senang dan bahagia 6 tahun kelak. Kadang kala aku berseronok, bergembira, gelak tawa tanpa tujuan. Kononnya untuk menghilangkan tekanan selepas menelaah pelajaran.

Apabila tiba masa untuk menjawab ujian, malam itu aku akan bertungkus-lumus. Bersengkang mata di bawah sinaran lampu kuning, bersama segelas kopi sebagai bantuan untuk bertahan dengan lebih lama. Selepas menjawab, markah tidak memuaskan. Aarrgh!! Tekanan kepada jiwa aku. Apabila tertekan, hati ini mula mencari perkara-perkara yang mampu menghilangkan tekanan. Apa yang aku temui? Hiburan jahiliyyah, yang ketika itu ibarat pakaian buatku, jika tidak ku sarungkan, tidak lengkap kehidupan seharian.

Setiap kali terkenang, aku malu sendiri. Malu dengan Si Pencipta yang telah memberikan panduan buatku tentang apa tujuan hidup ini sebenarnya. Cuma hati ini yang degil, tidak mahu membuka dan melihat apa yang ada di dalamnya. Hati ini sering rasa kehidupan dunia ini segala-galanya. Mencintai segala isi-isinya seakan-akan tiada kehidupan selepas ini, walaupun sering mulut ini membacakan Kalamullah, yang mengingatkan tentang kewujudan akhirat.

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat) (Al-Fatihah ; 5 )

Terbukti, Al-Fatihah selama ini dari akal dibawa ke mulut. Mulut melafazkan tanpa singgah di hati, kerana di hati wujudnya tembok besar kejahilan yang kukuh, teguh dan utuh. Mujur, sedikit demi sedikit tembok ini mula roboh. Alhamdulillah…ini semua ketentuanMu Ya Allah.

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman   (Al-An’am ; 125)

Sentiasa aku berdoa kepada Allah, agar aku  terus kekal di jalan ini. Agar aku terus kuat menentang tarikan-tarikan futur. Agar aku mampu mengatakan tidak kepada mereka yang mengajak ke jalan syaitan, musuh yang nyata. InsyaAllah…


Posted by: dq21 | 5 Mei 2009

Cerita Kandang…

Salam Alaikum…

Awal pagi tadi aku tertanya-tanya, “Bila Islam nak menguasai dunia?”, “Aku terlibat tak dalam golongan yang memperjuangkan Islam?”, “Aku ni dah islam ke hanya Islam?”, “Camne aku nak jadi seorang yang benar-benar islam?”.

Fikir dan terus fikir, aku jadi sedih kerana jahiliyah-jahiliyah dalam diri terlintas di depan muka. Menyebabkan diri ini rasa kerdil, hina, kotor dan tak layak untuk syurga Allah S.W.T. Kemudian aku terfikir, jika aku terus menyendiri dalam bilik, berdoa dan terus berdoa, mengasingkan diri dari masyarakat yang tidak sehina aku, adakah aku akan tergolong bersama mereka yang memperjuangkan Islam? Adakah aku berpeluang untuk syahid di jalan Allah S.W.T? Aku tak pasti juga jawapan untuk soalan itu.

Pemikiran yang terbentuk dari hati yang hina, yang penuh dengan kotoran dan sisa-sisa kejahilan dunia yang kononnya dipanggil ketamadunan menyebabkan persoalan tadi tergantung tanpa sebarang jawapan? Alhamdulillah…dalam kebuntuan itu, Allah mengurniakan kecerdasan akal sebagai salah satu nikmatNya yang tidak terbilang. Dengan kecerdasan akal kurniaan Ilahi, aku teringat sejarah sahabat-sahabat Nabi S.A.W. Mereka juga pernah dalam kejahilan. Membunuh anak perempuan tanpa sebab yang pasti, riba’ diamalkan sebagai sumber rezeki, zina sebagai budaya dan arak sebagai penghilang dahaga tetapi mereka tidak mengasingkan diri dan terus menyepi serta duduk di dalam gelap mengenang dosa dan memohon ampunan Rab Sekalian Alam semata-mata. Mereka berjuang bersama Rasul tercinta menegakkan satu-satunya cara hidup yang mulia di sisi Allah;

Sesungguhnya cara hidup (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam (Ali ‘Imraan ; 19)

Jadi mengapa perlu aku perlu menyendiri? Aku wajib contohi sahabat-sahabat, berjuang bersama menegakkan Islam. Terbukti cara ini berkesan untuk memperbaik diri dan memastikan diri terpelihara daripada dibelenggu kejahilan. Apabila kita dalam perjuangan, kita akan dihimpit suasana yang tenang tanpa kejahilan. Memudahkan hati untuk menerima cahaya Islam. Aku sedar akan perkara ini. Suasana yang mendidik aku, suasana yang mentarbiyyah aku, dan membentuk siapa aku.

Tak mungkin aku mampu memperbaiki diri jika menyendiri, tak mungkin mampu aku memperbaiki diri jika aku terus dalam kepungan duniawi. Aku perlu lari mencari kandang, kandang yang terhimpun mujahid-mujahid Islam. Kandang yang mampu membersihkan rohku. Kandang yang akan memastikan roh aku kekal sebagai pemuda. Aku yakin di sana aku akan berjaya…insyaAllah. Semoga Allah terus memberikan aku hidayah dan tidak memalingkan hati aku dari jalan yang diredhaiNya.

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali ‘Imraan ; 3)

Namun…Aku sedih kerana terlampau ramai yang aku sayang masih lengah, alpa dan leka dalam kehidupan yang penuh keseronokan tanpa ketenangan. Memang jahiliyah mampu menguntai seribu satu senyuman, tetapi sebesar zarah ketenangan tak mungkin jahiliyah berikan. Mengapa masih ada yang tidak mahu bersama-sama? Salah akukah kerana tiada usaha untuk memberi teladan? Atau salah aku kerana tidak menyampaikan? Atau salah aku kerana membiarkan suasana jahiliyah ini berterusan?

Mungkin salah aku kerana tidak terus kekal dalam kandang. Hati hina ini gagal mengawal jasad daripada melompat keluar apabila melihat kejahilan yang penuh dengan gelak tawa, gurau senda dan suka ria tanpa asas dan roh yang suci. Konflik hati berlaku, pening dan pusing memikirkan aku sebenarnya di mana?

Yang pasti aku cuma dua pilihan. Pertama, kandang mujahid yang penuh ketenangan, roh yang mulia, taqwa yang melangit tinggi, dan janji syurga yang diimpi. Atau…kejahilan yang seronok, riang, gembira tanpa sedar diri tiada tenang dan bakal menjadi bahan api. Tidak mungkin seorang insan mampu berdiri di atas pagar kandang, cuba merasai kehidupan kedua-dua alam yang tidak mungkin bercampur. Dia pasti akan terjatuh atau melompat sendirinya kedalam lembah kejahilan.

InsyaAllah…aku akan terus mencari. Harapnya ada sahabat yang menyayangi diri ini dan memberi panduan, tunjuk ajar, nasihat, peringatan serta teladan agar hati ini tidak kotor lagi. Agar hati ini mampu menerima Islam, tidak sesak lagi dengan kemungkaran dan kejahilan.. insyaAllah;

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman. (Al-An’am ; 125)

Sekian

Posted by: dq21 | 28 April 2009

Kekasih Yang Dirindu

Vodpod videos no longer available.

more about “Kekasih Yang Dirindu“, posted with vodpod
Ya Rasul Ya Habib Salamun ‘AlaikAku duduk sendirian merindu
Pemergian seorang kekasih
Walau lama penantianku ini
Aku yakin pasti bertemuAku tahu padanya tiada mungkir
Kerna itu bukanlah sifatnya
Di akhirat kan bersua lagi
Dengan mereka yang merinduinyaKerna dia telah pun berjanji
Akan memberi syafaatnya nanti
Saat itu pasti kan terjadi

Pada umatnya yang bertakwa

Telah beribu tahun sudah berlalu

Keagungannya pernah berlaku

Sejarahnya akan berulang lagi

Sebelum tibanya kehancuran

Namun yang percaya hanyalah mereka

Yang rindukan kekasih

Namun yang merindu hanyalah mereka

Yang selalu berselawat

Ya Nabi Ya Rasul Salamun ‘Alaik

Ya Habib Salamun ‘Alaik

Salam alaikum…

Kali pertama mendengar lagu ini saya teruja dengan liriknya. Alhamdulillah…ada penulis lirik nasyid yang memiliki fikrah sebegini. Liriknya indah, lagu dan melodinya disusun rapi, memudahkan pendengar untuk memahami isi lagunya.

Tetapi sahabat sekalian, apakah kita benar-benar yakin bahawa tiada mungkir kata-kata Rasulullah S.A.W? Jika kita yakin tiada mungkir kata Rasul Tercinta kita, mengapa kita masih berdiam diri,bergelak tawa yang tiada batas dan tujuan, bersenang lenang menonton di panggung, bersiar-siar di pusat membeli-belah, atau meniarap sambil bergoyang kaki menonton adegan-adegan lucu di YouTube. Sedangkan Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadith riwayat Imam Ahmad yang bermaksud ;

“Kenabian telah terwujud di antara kamu sesuai dengan kehendak Allah. Kemudian Dia akan menghilangkannya sesuai dengan kehendak-Nya, setelah itu ada Khilafah yang sesuai dengan kenabian tersebut, sesuai dengan kehendak-Nya pula. Kemudian Dia akan menghapusnya juga sesuai dengan kehendak-Nya. lalu ada Raja yang gigih (berpegang teguh dalam memperjuangkan Islam), sesuai dengan kehendak-Nya. Setelah itu ada seorang Raja diktator bertangan besi, dan semua berjalan sesuai dengan kehendak-Nya pula. Lalu Dia akan menghapusnya jika menghendaki untuk menghapusnya. Kemudian ada Khilafah yang sesuai dengan tuntunan Nabi. Lalu Dia diam”

Kita harus benar-benar yakin dan percaya sahabat, bahawa zaman khilafah yang berminhajkan Nabi akan wujud. Dan ia tidak akan wujud secara ajaib tanpa perjuangan daripada mukmin sejagat. Marilah kita berusaha bersama di jalan Allah ini untuk mengembalikan kegemilangan islam. Jika bukan untuk esok, mungkin lusa, mungkin setahun lagi, atau mungkin sedekad lagi. Biarlah penantian lagi seabad sekalipun, tidak mahukah kita berjuang menegakkan agama Allah? Ingat sahabat! Tidak akan tegak istana tamadun islam nanti jika tiada tapak dan binaan asasnya.

Kita akan menang! Percayalah sahabat sekalian. Mari bersama kita tinggalkan jahiliyyah, biarkan kejahilan sunyi tanpa teman, kerana ia tidak menjamin sebarang kemenangan dan kebahagiaan. Jangan mengecualikan diri anda daripada perjuangan suci ini kerana sejarahnya akan berulang lagi, sebelum tibanya kehancuran. Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 33

Dia-lah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai

Walluhu A’lam..

Posted by: dq21 | 27 April 2009

Setan!!!

Salam Alaikum sahabat yang dirahmati. Pelik apabila kita melihat dunia hari ini. Banyak sangat perkara-perkara yang mengelirukan kita berlaku di sekeliling kita. Tak perlu kita mengintai jauh ke luar jendela. Cukuplah kita perhati apa yang berlaku dalam kawasan yang sekangkang kera itu. Lihat, perhati dan teliti.

Sudah lihat? Bagaimana? Apakah yang dapat diperhati? Ingat! syaratnya jangan melihat jauh.

  • “Kalau tak tgk jauh sape yang ada DQ2?”
  • “ntah…ngarut je la penulis ni…”
  • “Aku sorg je kalau takat dalam bilik ni”

Jangan kita mencari sesiapa. Cukup kita perhatikan diri kita yang sentiasa lemah, lalai, lupa dan ingkar pada arahan Allah S.W.T. Syaitan Si Musuh yang nyata itu pula sering kita patuh dan ikut telunjuknya. Persoalannya…

  • Mengapa kita lemah, lalai, lupa dan ingkar kepada Allah?
  • Mengapakah kita terlampau mudah menuruti kehendak Syaitan?
  • Apakah teknik yang digunakan oleh musuh kita ini agar kita menuruti hasutannya?
  • Siapakah sebenar-benarnya syaitan ini?

Segalanya telah Allah huraikan, FirmanNya dalam surah An-Nas ayat 1-6 ;


Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.
“Yang Menguasai sekalian manusia,
“Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
“Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, –
“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, –
(iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”

Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Pernahkah kita membisikkan kejahatan kepada rakan-rakan kita yang lain? Atau kita tidak berbisik tetapi kita memekik dan menyeru kepada kejahatan? Atau mungkin kita cuma menghantarkan pesanan-pesanan ringkas dan komentar-komentar dalam laman rangkaian sosial seperti Facebook, Friendster, Myspace dan sebagainya. Atau mungkin kita hanya mengikut dan menurut, tidak pernah menghasut.

Apapun perantaraannya, jika kita mengajak orang ke arah kejahatan, kita tergolong dalam golongan yang dimurka ini. Kembalilah kepadaNya, perbaharuilah aqidah diri. Tingkatkanlah taqwa kepada Allah, agar kita  tidak mudah dihasut dan tidak akan menghasut… insyaAllah. Firman Allah S.W.T ;

Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.
Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah
. (An-Nahl ; 99-100)

InsyaAllah jika kita benar-benar mengenali ilah kita, beriman kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar iman, mengikuti cara Rasulullah S.A.W, kita akan terpelihara daripada segala hasutan dan pengaruh penghasut di kalangan jin dan manusia ini.

Wallahu A’lam…

Older Posts »

Kategori